fbpx

Kes hasutan: Bicara Muhammad Sanusi ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, atas dua tuduhan menghasut yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Ia berikutan apabila peguam Awang Armadajaya Awang yang mewakili Muhammad Sanusi memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menghantar representasi terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan dua pertuduhan itu.

“Terdapat perkembangan terbaharu apabila pihak kami telah menghantar reperesentasi. Oleh yang demikian kami mencadangkan penangguhan untuk pihak berkenaan mendapatkan maklumat penuh bagi mempertimbangkan representasi tersebut,” kata peguam itu.

Mendengar makluman itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud kemudian mengesahkan representasi terbaharu itu telah dihantar dan tidak membantah sekiranya mahkamah menangguhkan perbicaraan.

“Pendakwaan mengesahkan menerima representasi dalam kes ini, bagaimanapun kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti permohonan tertuduh,” katanya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan 27 September ini bagi pengurusan kes sebelum tarikh baharu perbicaraan ditetapkan.

Justeru tarikh-tarikh perbicaraan iaitu 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13 dan 23 Ogos yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan.

Sementara itu, Awang Armadajaya ketika ditemui selepas prosiding berkata, reprsentasi kedua itu dihantar pada minggu lalu.

“Representasi terbaharu itu, adalah untuk mengkaji pertuduhan termasuk menggugurkan pertuduhan tersebut,” kata peguam itu.

Dalam pada itu, Masri ketika ditemui memberitahu pihaknya menerima reprsentasi tersebut pada 19 Julai lalu.

Sebelum ini, pada Mei lalu AGC menolak permohonan Muhammad Sanusi bagi membatalkan dua tuduhan itu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan Muhammad Sanusi, 50, didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, Muhammad Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya untuk dibicarakan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Mahkamah Tinggi di sini memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri selaku pemohon untuk memindahkan kes itu.

Sebelum itu, pada Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI