JAKARTA – Seorang lelaki dipercayai bertindak meludah ke arah pekerja sebuah stesen minyak kerana ditegur tidak memakai pelitup muka di Kota Semarang, Jawa Tengah hari ini, lapor laman berita Tribun News.
Pekerja stesen minyak itu, Romadhon Alvin, 23, berkata, lelaki tersebut yang datang menaiki sebuah motosikal turut didakwa tidak memakai topi keledar dan mengugut untuk mencederakannya.
“Lelaki itu datang ke sini untuk mengisi minyak motosikalnya dan apabila mendapati dia tidak memakai pelitup muka, saya terus menegurnya secara baik.
“Selepas itu, dia tiba-tiba berang lalu bertindak meludah sekali dan mengenai tepat ke muka saya,” katanya.
Selain itu, Romadhon mengakui tidak gentar dengan ugutan lelaki yang dipercayai berusia sekitar 40-an dan tinggal berhampiran stesen minyak berkenaan.
“Dia turut memarahi saya dan mengugut untuk menahan saya ketika pulang dari kerja, tapi saya tidak takut kerana tindakan saya betul dan mengikut SOP yang ditetapkan pengurusan stesen minyak.
“Jika saya tidak menegurnya, saya mungkin akan didenda oleh pihak pengurusan stesen minyak,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, Romadhon terus mengadukan perkara itu kepada pihak pengurusan stesen minyak berkenaan yang kemudian membuat laporan polis. – Agensi