KOTA BHARU – Seorang suri rumah dicekup selepas dipercayai mendera anak tirinya yang berusia 9 tahun di dalam bilik air di rumah mereka di Taman Yik Perdana, Kok Lanas di sini pada minggu lalu.
Wanita yang berusia 37 tahun itu ditahan semalam selepas bapa kepada mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 3.45 petang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, bapa mangsa yang bekerja sebagai penjawat awam pulang ke rumah pada 12 Julai lalu sebelum mendapati anak sulungnya lebam pada bahagian kepala, lengan dan mata.
Menurutnya, mangsa kemudian menyatakan dia telah dipukul oleh ibu tirinya.
“Siasatan mendapati, kanak-kanak yang bersekolah di Kok Lanas itu didera oleh ibu tirinya pada 10 Julai lalu.
“Wanita itu dipercayai membawa kanak-kanak itu ke dalam bilik air sebelum menghentak kepala mangsa ke dinding dan menyepak kedua-dua belah tangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa juga dikurung di dalam tandas sehingga keesokan hari tanpa diberi makan dan minum malah kejadian tersebut berlarutan sehingga 12 Julai lalu.
Menurutnya, wanita itu diberkas semalam selepas suaminya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan lanjut turut mendapati, bapa mangsa berkahwin dengan suspek sejak Ogos tahun lalu.
“Selain itu, bapa mangsa juga tiada di rumah semasa kejadian kerana mempunyai urusan kerja di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Mohd. Rosdi berkata, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE