PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah meraikan seramai 226 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Parlimen Sungai Buloh melibatkan peruntukan berjumlah RM100,250.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, objektif inisiatif ini adalah bagi membantu meningkatkan akademik serta memotivasikan penerima untuk lebih berjaya di masa akan datang.
Sementara itu, Ramanan berkata, beliau sangat menghargai sokongan padu dan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar-pelajar terutamanya di Parlimen Sungai Buloh.
“Saya amat berharap usaha murni sebegini akan dapat diteruskan lagi di seluruh negara dan sekaligus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara ke arah peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan YBR hari ini.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, bantuan insentif yang diberikan kepada pelajar tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk terus berjaya dalam pendidikan serta mengekalkan momentum keputusan cemerlang dan secara tidak langsung meningkatkan modal insan negara.
“Inisiatif hari ini bukti bahawa pihak YBR bukan sahaja menghulurkan bantuan malah kami juga turut memberi pengiktirafan terhadap kejayaan yang dikecapi oleh para pelajar,” katanya.
Penyerahan inisiatif tersebut melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buloh, SMK Bukit Gading, SMK Bukit Rahman Putera, SMK Saujana Utama, SMK Subang, SMK Subang Bestari dan SMK Seksyen 10 Kota Damansara. – KOSMO! ONLINE