PETALING JAYA – “Paling penting, pilih kawan yang baik. Pastikan orang yang berdamping dengan kita adalah orang baik. Semua orang ada potensi untuk buat jahat pada diri kita”.
Demikian nasihat yang diberikan guru tuisyen bahasa Melayu dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana kepada anak muridnya menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian baru-baru ini.
Menurut Cikgu Zack Kirana, beliau amat terkesan dengan kejadian menimpa bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang maut dipercayai dibunuh oleh kenalannya baru-baru ini.
Katanya, tidak salah untuk berkongsi keberadaan diri kepada keluarga mahupun rakan terdekat sebagai langkah berjaga-jaga apabila berada di luar.
“Satu perkara yang ingin saya pesan kepada anak-anak murid saya, tidak salah untuk kongsikan keberadaan awak.
“Jangan jadikan hidup terlalu privasi, jangan dah jadi macam ini (kes Nur Farah Kartini), mak ayah menangis tak berlagu.
“Setidaknya beritahu dengan kawan rapat di mana lokasi anda berada. Sebab pada akhirnya, tidak semua orang dalam hidup kita ini boleh dipercayai kecuali ahli keluarga sendiri,” pesannya.
Tambah beliau, menjadi satu keperluan untuk memilih dengan siapa kita patut berkawan dan pastikan setiap kenalan itu mempunyai latar belakang yang baik.
“Paling penting, pilih kawan yang baik. Pastikan orang yang berdamping dengan kita adalah orang baik. Semua orang ada potensi untuk buat jahat pada diri kita.
“Bayangkan, dari Sarawak jauh datang dengan mak ayahnya hantar untuk belajar dan tuntut ilmu. Bercita-cita mahu jadi warga pendidik, tetapi tersilap pilih kenalan akhirnya nyawa jadi pertaruhan.
“Saya sedih lihat mak arwah yang termenung selepas jenazah dikebumikan. Wajah mak arwah penuh sugul,” luahnya.
Pada masa sama, Cikgu Zack Kirana turut menitipkan pesanan kepada kaum lelaki terutama dalam kalangan muridnya agar tidak menindas golongan wanita kerana setiap kejahatan itu pasti ada balasan.
“Nasihat ini bukan anak murid perempuan sahaja tetapi untuk lelaki juga. Jadilah lelaki yang bakal jadi pemimpin maruah, jangan buat jahat dengan anak dara orang dan wanita.
“Sebab kadang-kadang Allah tidak beri balasan pada kita, tetapi suatu hari Allah bagi balasan kepada anak perempuan kita.
“Pada ketika itu lah baru rasa menyesal. Bersyukur juga jika mak ayah kita tegas,” pesannya. – KOSMO! ONLINE