MOSCOW – Russia berkata hari ini bahawa ia mengerahkan beberapa jet pejuang bagi menghalang dua pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat (AS) daripada menyeberangi sempadannya di Laut Barents di Artik.
Tentera AS secara rutin melakukan penerbangan di perairan antarabangsa, dalam operasi yang didakwa dijalankan di ruang udara neutral dan mengikut undang-undang antarabangsa.
Namun, Moscow bertindak balas dengan lebih agresif kepada latihan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan memberi amaran pada Jun lalu bahawa penerbangan dron AS di atas Laut Hitam berisiko membawa kepada pertempuran tentera secara langsung.
Kementerian Pertahanan Russia berkata, ia melancarkan jet pejuang untuk memintas sasaran udara yang menghampiri sempadan negara Persekutuan Russia.
“Kru pejuang Russia mengenal pasti sasaran udara itu sebagai sepasang pengebom strategik B-52H milik Tentera Udara AS.
“Ketika tentera Russia menghampiri, pengebom strategik Amerika membetulkan laluan penerbangan mereka, bergerak menjauh dan kemudian beredar dari sempadan negara Russia,” katanya. – AFP