JOHANNESBURG – Kementerian Kesihatan Afrika Selatan semalam menafikan dakwaan rantaian baharu virus Covid-19 yang berasal dari negara itu lebih berbahaya daripada varian baharu yang ditemui di Britain.
Menterinya, Zwelini Mkhize berkata, tiada sebarang bukti kukuh yang menunjukkan rantaian baharu virus itu mampu mengakibatkan simptom penyakit lebih teruk atau meningkatkan kadar kematian.
“Pada waktu ini, tiada bukti menunjukkan varian 501.V2 lebih mudah berjangkit berbanding varian yang terdapat di Britain seperti mana diberitahu Setiausaha Negara Hal Ehwal Kesihatan Britain.
“Selain itu, tiada bukti juga yang menunjukkan varian baharu virus ini boleh menyebabkan penyakit lebih teruk atau meningkatkan kadar kematian berbanding varian di Britain mahupun varian lain ditemui di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Negara Hal Ehwal Kesihatan Britain, Matt Hancock mengumumkan penularan varian baharu virus yang berasal dari Afrika Selatan itu amat membimbangkan kerana lebih mudah berjangkit.
Sementara itu, Mkhize berkata, kenyataan yang dikeluarkan Hancock berkenaan telah mewujudkan persepsi bahawa varian baharu dari Afrika Selatan itu merupakan penyebab utama berlakunya gelombang kedua di Britain.
“Ini adalah satu perkara yang tidak betul. Bukti menunjukkan penemuan varian terbaharu virus di Britain yang didakwa berasal dari Afrika muncul pada bulan September.
“Ia ditemui lebih kurang sebulan sebelum varian baharu di Afrika Selatan muncul dan perkara ini telah pun dikongsi oleh komuniti saintifik seluruh dunia,” ujarnya.
Afrika Selatan merupakan negara yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 di benua Afrika dengan angka jangkitan menghampiri satu juta kes dan 26,000 kematian. – AFP