fbpx

Terus kibar Jalur Gemilang di semua premis – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua sektor kerajaan dan swasta serta seluruh peringkat kumpulan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis sepanjang Bulan Kebangsaan 2024.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai tanda taat setia dan satu bentuk ‘pengorbanan’ rakyat pada zaman ini berbanding rakyat terdahulu untuk menghargai sebuah kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 67 tahun lalu.

Beliau berkata, seluruh negeri di semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak perlu memastikan tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang dan ia memberikan satu petanda baharu dalam menterjemahkan jiwa Merdeka rakyat Malaysia.

“Saya percaya kita bagi mesej jelas, apa yang sukarnya (kibarkan Jalur Gemilang), orang dahulu korbankan segala-galanya, ibu-ibu di kampung keluarkan rantai dan perhiasan mereka untuk jadi tabung perjuangan.

“Dulu bagi cincin untuk perjuangan tetapi sekarang? Kena ingat jangan ada keterlanjuran kerana kita tak minta cincin atau jam, saya hanya minta kibarkan Jalur Gemilang.

“Kita kena pastikan kalau orang enggan (kibar Jalur Gemilang) kirim salam pada mereka, ini bukan isu kaum, parti, isu kedudukan atau pekerjaan, ini soal jati diri dan maruah harga diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, di sini hari ini.

Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 diadakan dengan tujuan utama untuk menyuburkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia menuju sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

Ia juga bertujuan menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dalam lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama mahu pun fahaman politik berasaskan aspirasi Malaysia Madani menerusi inisiatif ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI