LONDON – Arsenal sedang merancang langkah besar dalam jendela perpindahan musim panas ini dengan cuba mendapatkan penyerang utama Bayern Munich, Leroy Sane dan perkembangan itu akan menjadi berita yang mengecewakan buat Liverpool.
Sane pernah bermain di England bersama Manchester City dari Ogos 2016 hingga Julai 2020 sebelum meninggalkan Etihad empat tahun lalu apabila ditawarkan peluang untuk bermain di kelab terbesar negara asalnya, Bayern.
Pemain sayap berkaki kiri yang lebih suka bermain di bahagian kanan ini telah menjaringkan 39 gol dan memberikan 43 bantuan dalam 135 penampilan untuk City serta membantu kelab itu meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Piala FA dan dua Piala Liga.
Ketika bersama Bayern, Sane telah merekodkan 48 gol dan 50 bantuan dalam 175 perlawanan, dengan kelab Jerman ketika memenangi trofi seperti gelaran Bundesliga (3 kali), Piala Kelab Dunia FIFA dan Piala Super UEFA dalam tempoh tersebut.
Menurut laporan, Arsenal bersedia untuk membuat tawaran besar bagi membawa Sane dari Bayern selepas Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyedari bahawa Sane kini memasuki 12 bulan terakhir kontraknya dengan Bayern.
Walaupun, Bayern berhasrat untuk mengekalkan pemain berusia 28 tahun itu sebagai sebahagian penting dalam pasukan mereka, namun Sane dikatakan terbuka untuk cabaran baru.
Dalam pada itu, Liverpool juga dilaporkan akan kecewa jika Sane berpindah ke Arsenal kerana mereka turut menjadikan pemain itu sasaran pada jendela perpindahan kali ini. – AGENSI