KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor yang ditahan kerja dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, bagaimanapun dua individu berkenaan belum hadir memberi keterangan.
“Dua individu itu sudah dihubungi untuk membantu siasatan berhubung kes ini, namun masih belum tampil memberi keterangan. Setakat ini, masih kekal dua individu yang dipanggil untuk beri keterangan,” katanya, ketika dihubungi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis telah merakam keterangan seorang ahli perniagaan susulan laporan ibu mangsa berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya.
Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, di sini, pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Susulan itu, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, seorang pemandu lori yang juga netizen dalam kes sama turut didakwa atas dua pertuduhan membuat komunikasi lucah dan aib di TikTok. – KOSMO! ONLINE.