PETALING JAYA – Kucing merupakan haiwan peliharaan paling popular dalam kalangan masyarakat namun, kutu kucing yang sering ditemui di antara bulu-bulu atau kulitnya boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di Facebook mendedahkan antara kesan yang akan berlaku sekiranya seseorang itu terkena kutu kucing adalah mengalami gatal-gatal dan iritasi pada kulit.
“Boleh mengalami kesan alergi seperti ruam dan bengkak. Kutu kucing boleh menyebabkan penyakit berbahaya. Antaranya demam, sakit kepala, dan ruam disebabkan infeksi bakteria dari cakaran atau gigitan kucing,” kata PHM.
Selain itu, PHM turut menjelaskan bahawa, kutu yang ada pada badan kucing membawa larva cacing pita dan ia boleh menjangkiti manusia, terutama kanak-kanak.
Sehubungan itu, PHM berkongsi beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan seperti membuat rutin menyapu ubat kutu pada kucing.
“Bersihkan rumah dan tempat tidur kucing selalu. Guna produk anti kutu di kawasan yang kucing selalu lepak dan jaga kesihatan keluarga dan kucing dari kutu kucing,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE