PETALING JAYA – Keluarga kepada bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah menafikan pihaknya membuka tabung sumbangan buat arwah menerusi edaran di platform media sosial.
Mendedahkan perkara tersebut, salah seorang ahli keluarga Nur Farah Kartini yang menggunakan akaun TikTok @sherilhudsons berkata, pihak keluarga tidak bertanggungjawab ke atas beberapa tabung sumbangan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Pihak keluarga tiada membuat sebarang kutipan tabung derma atau kod QR seperti mana yang disebarkan untuk tabung sumbangan kepada Allahyarham Nur Farah Kartini.
“Ia adalah bukan milik ahli keluarga sama sekali,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa nombor akaun bank berserta kod QR yang didakwa dibuka bagi mengumpul sumbangan untuk meringankan beban keluarga Allahyarham.
Sebelum ini, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE