KOTA TINGGI – Dek kerana memberontak kerana tidak boleh tukar kursus pengajian di sebuah kolej, seorang remaja nekad lari rumah untuk ‘menenangkan’ diri susulan kecewa kehendaknya tidak dipatuhi.
Siti Nur Balqiesh Rasid, 17, bertindak lari daripada rumah keluarganya di Bandar Penawar, di sini pada pukul 7 malam Khamis lalu dengan membawa satu beg plastik dipercayai mengandungi pakaian.
Menurut bapanya, Rasid Sulaiman, anak sulung empat beradik itu berselisih faham dengan ibunya berkaitan hasratnya mahu menukar kursus pengajian di salah sebuah kolej kemahiran di Tampoi, Johor Bahru serta menafikan dia lari bersama teman lelaki.
“Dia (Siti Nur Balqiesh) dalam proses sambung belajar peringkat diploma dalam bidang kosmetologi, tapi baru-baru ni dia nak tukar kursus kepada kimpalan atau mesin peralatan.
“Pensyarah dia terangkan tidak boleh tukar kursus kerana perlu belajar dari mula balik dan melibatkan kos lain. Isteri saya ada terangkan masalah ini, namun dia tidak boleh terima,” katanya dalam tulisan di laman sosial Facebook, semalam.
Namun setelah hampir tiga hari kehilangan remaja itu, Siti Nur Balqiesh akhirnya berjaya ditemui berada di sebuah kedai makan di Pasir Gudang oleh seorang anggota polis bantuan.
“Alhamdulillah, berkat doa daripada semua orang, anak saya selamat ditemui. Terima kasih Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan anggota polis bantuan Mohd. Afiq Danial yang menjumpai anak saya sebelum hubungi isteri saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Husin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan pada hari Khamis lalu yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar. – KOSMO! ONLINE