KUALA LUMPUR – M8 Pushbike dan ZK Racing bakal bekerjasama mengadakan perlumbaan pocketbike berskala besar yang akan diumumkan kelak sebagai langkah meneruskan kesinambungan sukan dua roda ke arah permotoran.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd. Muzri Ramli berkata, kedua-dua pihak sentiasa berbincang mengenai hala tuju pelumba pushbike di masa hadapan dan bersependapat kesinambungan sukan itu ke platform perlumbaan motosikal seperti MiniGP.
Dalam masa terdekat, M8 sedang giat melaras acara ‘Come & Try’ bagi pelumba pushbike merasai pengalaman menunggang jentera pocketbike yang berkemungkinan akan diadakan awal bulan depan sempena Pusingan 4 FIM MiniGP Malaysia.
“M8 akan menganjurkan kejuaraan pocketbike dan dibantu oleh ZK Racing selaku pasukan teknikal di dalam pengoperasian serta mengendalikan jentera, latihan dan sebagainya.
“Kerjasama ini akan melengkapkan transisi daripada sebuah basikal imbang iaitu pushbike ke pocketbike yang berenjin dan saiz yang lebih kecil berbanding MiniGP.
“Objektif utama kolaborasi ini salah satunya adalah kesinambungan karier seorang pelumba pushbike ke sukan dua roda sekali gus melahirkan lebih ramai pelumba motosikal negara di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di M8 International Pushbike GP Series yang berlangsung di Langkawi, baru-baru ini.
Acara sukan bertaraf antarabangsa yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan seramai 400 peserta dari empat negara termasuk Malausia, Indonesia, Thailand dan Singapura berentap merebut kejuaraan.
Tambah membanggakan, pasukan M8 Malaysia berjaya mengungguli lima daripada sembilan kategori dipertandingkan termasuk kejayaan hero cilik, Maleeq Dragster, Mikayla 44 dan Dayyan Adam dalam kategori masing-masing.
“Terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan yang menyokong M8 International Pushbike Gp Series yang diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) baru-baru ini.
“Pertandingan M8 International akan diadakan sekali lagi di Langkawi tahun hadapan bagi menggalakkan program pelancongan dan sukan di Langkawi.
“Kerjasama antara M8 Eagle Pushbike, M8 Malaysia, ZK Racing dan Lada pastinya memberi daya tarikan yang lebih terbaik pada 2025,” jelas Wan Mohd. Muzri. – KOSMO! ONLINE