KUALA NERANG – Seorang penoreh getah warga Myanmar cedera pada bahu selepas dipercayai terkena tembakan di kawasan kebun getah di Naka, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 5.45 petang.
“Laporan dibuat oleh orang awam yang memaklumkan seorang lelaki Myanmar berusia lingkungan 40-an cedera pada bahagian bahu disyaki terkena tembakan semasa berada di kebun getah di kawasan Naka,” katanya, di sini hari ini.
“Polis ke tempat kejadian dan menemui mangsa cedera dan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Suspek juga sedang dikesan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE