SANAA – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, manakala 87 lagi cedera selepas serangan udara askar Israel dilancarkan ke arah bandar di Yemen, sehari selepas serangan dron membedil Tel Aviv, lapor saluran berita CNN hari ini.
Serangan udara itu menyasarkan lokasi Houthi, sehari selepas kumpulan disokong Iran tersebut melancarkan serangan maut ke atas bandar Tel Aviv.
Jet pejuang tentera Israel dilaporkan menyerang kawasan bandar pelabuhan, Hodeidah semalam.
Presiden Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas langsung terhadap kematian seorang warga emas berusia 50 tahun dalam serangan dron kelmarin.
“Ini merupakan kali pertama kami menyerang Yemen,” kata pegawai Rejim Zionis.
Stesen penyiaran TV Al Masirah yang dikendalikan Houthi berkata, serangan terbabit menyasarkan kemudahan minyak di pelabuhan di pantai barat Yemen.
“Ia meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan mencederakan 87 orang dengan kebanyakannya mengalami kesan melecur yang teruk,” tambah laporan itu.
Menurut jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam, serangan tersebut turut menyasarkan orang awam dan sebuah stesen jana kuasa.
Jurucakap tentera Houthi, Yehya Saree dalam pada itu berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan Israel.
“Houthi tidak akan teragak-agak untuk menyerang ‘sasaran penting’ dan memberi amaran bahawa Tel Aviv masih tidak selamat.
“Kami telah bersedia untuk perang yang panjang dengan musuh ini sehingga pencerobohan berhenti dan sekatan ke atas rakyat Palestin ditarik balik,” kata Yehya. – AGENSI