DALAM pada berkongsi berita gembira dirinya kini hamil anak sulung, pelakon Datin Intan Najuwa tidak langsung ‘tunduk’ dengan sebarang perkara mengganggu emosi dan kesihatan mentalnya.
Pemilik nama lengkap, Intan Najuwa Abdul Wahid itu tidak berkompromi dengan sebarang provokasi dicetuskan manusia-manusia toksik yang mengganggu gugat kebahagian hidupnya sebagai seorang wanita terbahagia.
Paling terbaharu, pelakon drama rantaian, Racun Rihanna itu nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang mendakwa dia tidak membayar gaji pekerja.
Intan, 27, berkata, dia enggan terlalu memberi muka terhadap mana-mana individu yang cuba menjatuhkan reputasi dirinya sebagai seorang majikan.
“Mari, saya nak berjumpa dengan awak sebab saya pun tak kenal awak.
“Saya beri awak masa 24 jam untuk berdepan dengan saya, kalau tidak saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Tidak berhutang
Kata Intan, dia tidak pernah gagal membayar gaji pekerja dan bahkan, sentiasa menjaga kebajikan mereka termasuk memberi bonus.
“Maaf ya, saya tiada hutang duit orang sedangkan orang hutang dengan saya yang ramai.
“Semua pekerja yang kerja dengan saya dapat gaji dan bonus lagi. Jadi, kalau setakat nak burukkan nama saya beringat sikit. Cari fasal dengan saya, awak akan menyesal,” ujarnya.
Isteri kepada usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman itu mendedahkan, dia sebelum ini pernah berdepan dengan beberapa pekerjanya yang bermasalah termasuk mencuri, namun tidak tergamak membuat laporan polis.
“Siapa pula pekerja yang saya tak bayar gaji ini melainkan kalau dia tak buat kerja, memang saya buang terus.
“Pekerja songlap (curi) duit saya ada, curi duit pun ada. Cuma kita ni malas nak berdendam tak buat laporan polis pun.
“Yang makan gaji buta pun ada. Pekerja yang buat kerja macam budak tadika selepas itu tiba-tiba minta macam-macam pun ada,” katanya lagi.
Malaikat kecil
Berang dituduh dengan tuduhan yang tidak berasas bertubi-tubi daripada individu terbabit, dia juga bertindak memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai dengan
peguam agar tindakan undang-undang diteruskan.
Walaupun kini perut memboyot, Intan tetap berpegang dengan pendirian tidak berbelah bahagi sekali gus membuktikan jangan ‘bermain api’ dengan wanita terutama yang sedang berjuang melahirkan ‘nyawa’ di dunia ini.
“Terima kasih atas semua doa daripada kalian semua. Untuk yang komen toksik, tidak mengapa kerana segala kata-kata dilontarkan akan sentiasa berbalik kepada diri sendiri.
“Jadi, berhati-hatilah jika ingin menulis sesuatu. Saya doakan kepada semua wanita yang sedang menunggu zuriat dan sedang berusaha untuk dapatkan cahaya mata agar Allah tiupkan malaikat kecil menjadi penghuni rahim kalian,” titipnya.