PETALING JAYA – “Ya Allah betapa Nush rindukan abah.”
Demikian luahan waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MH17) yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Anak juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin iaitu Wan Yunus Uzair, 21, berkongsi kerinduannya kepada bapanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Wan Yunus Uzair yang lebih dikenali dengan panggilan Nush dalam keluarga turut memuat naik beberapa gambar bagi mengimbau kembali momen bersama bapanya.
“Pada 17 Julai lalu genap 10 tahun abahku meninggalkanku. Saya rindu abah buat lawak, rindu tidur dengan abah, rindu peluk abah dan rindu bergurau dengan abah.
“Saya rindu segala-galanya. Andai boleh putarkan masa, saya takkan bagi abah naik (kapal terbang), tapi nak buat mcm mana saya reda,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Nush yang sudah mendirikan tangga dengan gadis idamannya berharap agar roh bapanya dilimpahi keberkatan dan ketenangan.
“Abah sekarang Nush dah 21 tahun, Nush sudah ada isteri dan tak lama lagi abah nak ada cucu dah. Abah mesti bahagia tengok Nush sekarang, abah doakan Nush,” ujarnya.
Sementara itu, Nush berkata, kali terakhir pertemuannya bersama arwah pada 15 Julai yang merupakan ulang tahun kelahirannya.
“Hari terakhir saya jumpa abah adalah sebelum dia pergi kerja hari itu. Dia kata dia pergi Amsterdam, Netherlands.
“Abah sempat cakap, balik nanti dia akan sambut ‘birthday’ saya bersama. Itu yang saya ingat sampai sekarang,” jelasnya.
Untuk rekod, selain Wan Amran, 14 lagi kru dan anak kapal MH17 turut terkorban dalam peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE