JAKARTA – Seorang lelaki terkejut apabila diminta menjadi pengapit buat pengantin lelaki semasa menghadiri sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini, lapor saluran berita Detiknews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @afmslkh_, lelaki itu sedang duduk di atas pelamin bersebelahan dengan pengantin lelaki.
Dia pada awalnya menghadiri majlis itu sebagai tetamu undangan. Namun, dirinya terkejut apabila diminta menjadi pengapit.
Lebih mengejutkan, dia tidak mengenali pasangan pengantin itu.
“POV: Datang ke majlis perkahwinan orang yang tidak dikenali, tiba-tiba diminta jadi pengapit,” demikian keterangan video itu.
Video itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 849,300 tontonan serta 66,700 tanda suka.
“Macam mana boleh jadi pengapit, kalau tetamu masih munasabah tetapi ini sampai naik ke pelamin,” kata netizen.
“Isteri: Oh, ini (lelaki itu) dari keluarga belah suami. Suami: Ini dari keluarga belah isteri,” kata netizen lain. – AGENSI