HULU SELANGOR – Polis mengesahkan sedang menganalisis kad sim milik suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dipercayai boleh dijadikan bahan bukti.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd Yunus berkata, siasatan turut dijalankan di sebuah kebun ubi di Klan Halt, Slim River, Perak hari ini.
“Suspek mengusahakan dan bekerja sambilan di kebun ubi itu. Namun kebun ubi itu bukan miliknya.
“Siasatan selesai (di Klan Halt) dan pasukan telah pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk analisis kereta suspek (Toyota Vios),” katanya hari ini.
Ketika ditanya mengenai operasi mencari barangan milik mangsa di Sungai Trolak, Asri memaklumkan, operasi tersebut ditangguhkan hari ini.
“Pemantauan oleh IPD Mualim di Sungai Trolak mendapati keadaan masih belum mengizinkan untuk pasukan skuba meneruskan pencarian,” ujarnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menemui telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini yang dibuang dalam parit di Kampung Sri Kledang di sini.
Suspek yang merupakan anggota polis berusia 26 tahun dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan untuk mencari barang bukti di sebuah parit di lokasi kejadian.
Polis menjumpai beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini di Sungai Trolak Kampung Batu 4.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang pada pukul 6 petang. -KOSMO! ONLINE