SINGAPURA – Seorang personaliti televisyen baru-baru ini menyahut cabaran untuk makan buah durian di Singapura, lapor portal berita asione kelmarin.
Robert Irwin merupakan anak kepada mendiang Steve Irwin yang dikenali sebagai ‘pemburu buaya’, berkongsi pengalaman tersebut di saluran media sosialnya.
Dia menuju ke gerai Durian 36 yang terletak di Geylang, untuk pengalaman pertama makan durian.
Robert diberikan sepasang sarung tangan untuk memakan isi buah durian.
Warga Australia itu cuba memberikan konteks kepada tugas yang dihadapi dengan mengingatkan penontonnya bahawa durian diharamkan daripada dibawa ke dalam kereta api di Singapura.
Selepas mengambil buah itu, dia berkata: “Saya tidak dapat tahan dengan baunya.”
Robert kemudian memakai sarung tangan dan merasai sedikit demi sedikit isi raja buah itu dan berkata, rasanya sedap.
Bagaimanapun, reaksi mukanya tidak sama dengan ulasan apabila dia mula terbatuk-batuk.
“Bagus, saya suka,” katanya seolah-olah cuba meyakinkan diri sendiri, sebelum akhirnya meminta juruvideo itu menghentikan rakaman.
Netizen ketawa melihat pengalamannya, dengan ramai memilih untuk tidak mempercayai pendapatnya tentang buah itu.
“Adakah anda cuba meyakinkan saya atau diri anda sendiri?” tanya seorang pengguna TikTok.
Seorang lagi netizen berkata: “Perbuatan (makan isi durian) itu tidak sepadan dengan penerangannya.” – AGENSI