BAGAN SERAI – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperketatkan larangan penjualan, pembelian dan penggunaan semua jenis produk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang kurang 18 tahun dengan menggunakan satu akta baharu yang telah diluluskan pada Febuari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak, A.Sinavesan berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mendapat kelulusan Dewan Negara bagi menggantikan peraturan yang sedia ada di bawah Peraturan -Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Meski pun begitu, Akta 852 ini masih lagi belum dikuatkuasakan kerana masih dalam semakan.
“Sebaik sahaja selesai semakan Rang Undang -Undang (RUU) tersebut kita akan segera melaksanakan penguatkuasaannya di lapangan bagi membendung masalah peningkatan penggunaan rokok konvensional dan rokok elektronik di dalam negara dan negeri Perak ini,” katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Negeri Perak dan Jelajah Agenda Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Kerian 2024 di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), di sini hari ini.
Menurut Sinavesan, RUU tersebut memperuntukkan hal berhubung pendaftaran, pengiklanan, kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau. – KOSMO! ONLINE