TROON, Scotland – Bekas pemain No. 1 dunia, Tiger Woods mengesahkan tidak akan bersara dalam arena profesional sebaliknya memilih untuk berehat seketika daripada lapangan golf selepas tersingkir awal pada Kejuaraan The Open kali ini.
Sebagai rekod, Woods yang pernah menjuarai 15 kejuaraan bertaraf major hanya bertahan selama dua hari pada saingan The Open di Lapangan Royal Troon sebelum tersingkir secara rasmi kelmarin.
Woods yang kini berusia 49 tahun mengakui prestasi kali ini sangat teruk dan perlukan masa untuk memikirkan langkah seterusnya dalam menentukan hala tuju kariernya selepas ini.
“Secara keseluruhan, apa yang saya tampilkan pada kejohanan kali ini tidak begitu baik terutama pada pusingan kedua. Saya cuba untuk berikan saingan tetapi gagal membuat birdies yang diharapkan sebaliknya hanya mencipta bogeys.
“Justeru, penyingkiran ini membuatkan saya perlu fikirkan semula mengenai masa depan dan apa yang boleh saya sahkan, saya tidak akan bermain sehingga Disember depan pada kejohanan jemputan tidak rasmi di Kejuaraan PNC.
“Dalam masa yang sama, saya akan berusaha meningkatkan lagi tahap kecergasan fizikal serta mental agar dapat tampil lebih bersedia apabila bersaing dalam kejohanan bertaraf major pada tahun depan.
“Harapan saya adalah untuk menjuarai kejohanan major sekali lagi dalam karier tetapi ia tidak semudah yang disangka,” kata Woods yang kali terakhir menang gelaran major pada Kejuaraan Masters edisi 2019. – AGENSI