JOHOR BAHRU – Ibu remaja Nurul Umaierah Qolessya Sujak, 14, yang lemas ketika mandi sungai di Taman Pulai Perdana, di sini kelmarin disifatkan sebagai anak yang ringan tulang.
Nurfarah Abu Othman, 36, berkata, anak keempat daripada tujuh beradik yang mesra disapa ‘baby’ itu juga merupakan anak yang ceria.
“Baby seorang anak yang manja, walaupun sudah besar arwah masih dipanggil Baby. Arwah rajin menguruskan adik-adik untuk ke sekolah dan menyiapkan baju sekolah yang perlu dipakai mereka.
“Pada sebelah malam, Baby akan mengajar adik-adiknya membaca, arwah seorang anak yang rajin dan baik.
“Saya tidak sangka akan kehilangannya sebab kami sekeluarga baru meraikan hari lahirnya kelmarin. Dia sempat mencium saya dan saya mendoakan yang terbaik buatnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.
Menurut Nurfarah, aktiviti berkelah dan memancing di Taman Pulai Perdana semalam adalah permintaan arwah Nurul Umaierah Qolessya sebagai hadiah hari lahirnya.
Ketika kejadian, arwah Nurul Umaierah Qolessya pergi ke lokasi tersebut bersama kakak dan tiga adiknya. – KOSMO! ONLINE