SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Ogos ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, ini berdasarkan sejarah yang mana gabungan parti tersebut pernah menguasai kerusi berkenaan.
Justeru, Muhamad Akmal akan meminta ahli Pemuda UMNO seluruh negara turun ke Nenggiri bagi membantu calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang bertanding pada PRK DUN tersebut.
Untuk rekod, BN memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-11 hingga 14.
“Kita akan pastikan seluruh jentera Pemuda turun di Nenggiri, berkempen untuk Abe Mawi (Mohd. Azmawi).
“Beliau adalah orang tempatan, iaitu orang Gua Musang. Jadi, saya lihat kita ada peluang cerah untuk menang di situ,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Subang, di Bangunan UMNO Selangor, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE