fbpx

‘Jadi manusia bertamadun, jangan samakan diri kita dengan binatang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BABY Shima berharap orang ramai tidak normalisasikan kecaman terhadap individu lain yang hakikatnya mampu mengganggu mental seseorang.

PETALING JAYA – Terkesan dengan kematian pempengaruh akibat buli siber, penyanyi Baby Shima berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian tragis itu agar tidak berulang lagi.

Ujar Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 29, jangan normalisasikan kecaman terhadap individu lain yang hakikatnya mampu mengganggu mental seseorang.

“Inilah situasi yang kita tidak boleh pandang remeh kerana sebarang bentuk kecaman, kutukan serta ugutan menerusi media sosial perlu dihentikan.

Jangan anggap itu sekadar usikan tidak kira ‘body shamming’, keluarkan perkataan kesat mahupun menyamakan seseorang dengan binatang.

“Jadilah manusia bertamadun. Kita diberi akal, jangan nanti kita sendiri dihantui perasaan bersalah seumur hidup jika sesuatu berlaku kepada orang yang kita ganggu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi lagu Roadblock Hatiku itu berkata, dia juga antara mangsa buli siber yang kerap dihujani pelbagai kecaman dan tohmahan sejak bergelar anak seni 15 tahun lalu.

Ulas Shima, teknologi masa kini disalah guna selain menghakis nilai empati segelintir pihak yang terlampau taksub menghakimi kehidupan orang lain.

“Kalau baca tulisan mahupun komen segelintir netizen, kita mungkin boleh jadi gila kerana individu sebegini terlalu merasakan diri mereka sempurna.

Namun pada masa sama iri hati dengan kehidupan orang lain sampai sanggup jadi ‘stalker’, layangkan kutukan dan sebagainya demi kepuasan diri.

“Saya cuma ambil pendekatan tidak melayan, tetapi kalau melampau sangat memang saya saman. Kita kena ajar pembuli siber,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pempengaruh yang popular di aplikasi TikTok ditemui mati akibat diganggu serta diugut pembuli siber.

Mayat pempengaruh wanita dikenali sebagai Esha, 29, itu meninggal dunia di rumahnya pada 5 Julai lalu.

Insiden tersebut mendapatkan perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang membawa isu buli siber di dalam mesyuarat kabinet. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI