WASHINGTON – Syarikat-syarikat penerbangan utama berjaya memulihkan sebahagian operasi selepas penerbangan tergendala di seluruh Amerika Syarikat(AS) susulan masalah komunikasi berpunca daripada keranapan IT global, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) semalam.
Masalah yang turut menjejaskan bank dan perkhidmatan kecemasan itu berpunca daripada kegagalan kemas kini perisian yang dilakukan firma siber sekuriti, Crowdstrike.
Syarikat penerbangan Delta Airlines dan American Airlines membatalkan semua penerbangan semalam namun, menyambung semula perkhidmatan tidak berapa lama kemudian.
Sementara itu, Crowdstrike meminta maaf dan berkata, masalah tersebut telah dikenal pasti dan akan dipulihkan, namun tidak memberikan tarikh tertentu bila semua sistem akan beroperasi seperti sedia kala.
Hampir 39,000 penerbangan tergendala dan kira-kira 4,400 dibatalkan di seluruh dunia
American Airlines dan Delta memberitahu bahawa mereka akan mengeluarkan ‘travel waiver’ berhubung gangguan perkhidmatan yang berlaku tanpa sebarang caj kepada penumpang.
Pelancong AS, Stephanie Thompson tidak dapat menaiki penerbangan pulang ke Dallas selepas melancong ke Britain akibat masalah tersebut.
“Kami tidak mendapat penjelasan daripada sesiapa. Kami (dia dan keluarga) membayar AS$6,800 (RM31,874) untuk tiket penerbangan sehala ke Dallas. Saya hanya mahu pulang,” katanya ketika bercakap dari Lapangan Terbang Edinburgh. – AGENSI