JAKARTA – Seekor buaya sepanjang tiga meter berjaya ditangkap penduduk setempat dengan menggunakan burung wak-wak sebagai umpan dalam kejadian di daerah Mamuju Tengah, wilayah Sulawesi Barat, lapor portal berita detikcom semalam.
Reptilia itu ditangkap di dalam sebuah parit di Desa Kabubu pada waktu pagi.
Penduduk tempatan melihat buaya itu buat pertama kali ketika ia mencari burung wak-wak di sekitar parit tersebut.
“Ada dua ekor buaya yang mereka lihat, cuma seekor lagi masih kecil,” kata ketua masyarakat Desa Kabubu yang dikenali sebagai Wahyu.
Dia berkata, setelah buaya itu ditangkap, penduduk mengikat mulut dan kakinya dengan menggunakan tali.
Menurutnya, buaya tersebut sudah dibawa ke pejabat Balai Pemuliharaan Sumber Daya Alam (BKSDA) untuk dilepaskan di lokasi lain.
Wahyu berkata, buaya tersebut ditangkap kerana bimbang ia akan menerkam penduduk tempatan. – AGENSI