SETIAP lima tahun, Malaysia mencatat sejarah kesinambungan peralihan tampuk kepimpinan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua negara bagi meneruskan tradisi kepemimpinan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Pada 31 Januari lalu, peralihan kuasa kembali berlaku dengan perlantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai YDPA ke-17, menggantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara, manakala istiadat pertabalan baginda sebagai YDPA dijadualkan berlangsung hari ini.
Sebagai sebuah sistem kepimpinan diraja yang unik di dunia, perlantikan Sultan Ibrahim itu meneruskan penggiliran sama mengikut turutan sembilan negeri yang bermula dengan Negeri Sembilan dan berakhir dengan Perak.
Sebagai YDPA, Sultan Ibrahim juga tidak terkecuali bakal memberikan komitmen tinggi untuk menjalankan tugas sebagaimana kepimpinan baginda di negeri Johor.
Diputerakan pada 22 November 1958, Sultan Ibrahim dikenali sebagai seorang sultan yang mesra rakyat dan sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.
Menurut rakan rapat baginda, Mejar Cina Datuk David Wong Khong Soon, baginda sentiasa mengambil minat peribadi dalam kehidupan rakyatnya supaya dapat memberi bantuan secara lebih efektif.
“Tuanku amat bijak dan memiliki ingatan seperti sebuah komputer. Baginda memiliki pengetahuan yang luas dalam pelbagai aspek seperti kereta, bot, kapal terbang, pertanian, sukan, masakan dan perniagaan.
“Walaupun tentang perkara yang tidak atau baru diketahui, baginda berusaha untuk mempelajari dan memahami dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Tambah beliau yang mengenali baginda selama lebih 40 tahun, Sultan Ibrahim juga menghormati semua orang tanpa mengira kaum dan agama serta menjadi sifat terpuji baginda yang melihat melampaui warna kulit untuk memastikan keharmonian juga keamanan masyarakat.
Kepimpinan dan keperibadian baginda sebagai pemimpin juga banyak dipengaruhi oleh almarhum ayahanda, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
Merupakan anakanda ketiga daripada 10 beradik, baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman 1 sebelum menyambung pelajarannya di Trinity Grammar School di Australia pada 1968 selama dua tahun.
Sekembalinya baginda ke Johor, baginda kemudiannya belajar di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) dan pada masa sama turut bersekolah di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek di Johor Bahru bagi mempelajari asas-asas agama Islam.
Beberapa tahun kemudian, baginda telah dihantar ke Pusat Latihan Darat (Pulada) di Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan dan kemudiannya ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Di sana, baginda telah mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara dan mengikuti Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, AS yang membawa kepada pelantikan baginda sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah, Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Baginda menerima sayap penerbangan selepas menerima kursus latihan helikopter di Kem Tentera Kluang. Tuanku juga menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pendedahan pendidikan dan latihan ketenteraan yang diterima menjadikan Sultan Ibrahim sebagai seorang sultan yang tegas tetapi masih berjiwa rakyat dari mata rakyat jelata.
Hal itu turut diungkapkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Johor, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa yang memberitahu baginda seorang yang tegas, teliti dan berdisiplin tinggi.
“Baginda sentiasa menekankan kepentingan kualiti kerja, pengurusan masa dan komitmen terhadap kerja.
“Tuanku juga sering memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawai istana mahupun pegawai-pegawai kerajaan di dalam menjalankan sesuatu kerja yang dititah.
“Baginda juga merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam aspek pengurusan kerajaan, mempunyai kemahiran tinggi dalam aspek teknikal dan ilmu ketenteraan,” ujar beliau yang mengenali baginda semasa mula memasuki sekolah menengah iaitu Tingkatan Satu di MSAB.
Tambah beliau lagi, Tuanku juga merupakan seorang sultan yang bekerja, sentiasa memantau perjalanan pengurusan kerajaan dan sentiasa memberi pandangan serta panduan terhadap tatacara pengurusan dan pentadbiran negeri.
Baginda juga sentiasa turun padang dalam apa jua aspek kerja, tegas dalam memberi pandangan dan teguran.
Sementara itu, pengalaman bekerja dengan baginda turut dikongsi bekas Pegawai Pengiring Peribadi Sultan Ibrahim, Datuk R. Sugumaran kepada K2.
Katanya, baginda merupakan seorang yang sentiasa menepati masa dan akan memastikan tidak ada rakyat akan menunggu dengan masa lama ketika sesuatu majlis diadakan.
“Baginda akan tiba ke sesuatu majlis bersua mata dengan rakyat tepat pada masanya.
“Prinsip yang Tuanku pegang, baginda akan memastikan tidak ada rakyat akan tunggu ketibaan Tuanku dalam sesuatu majlis,” katanya ketika ditemui secara eksklusif.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, Seri Paduka Baginda Sultan turut menerapkan sikap ketaatsetiaan dan keikhlasan ketika bertugas.
Ujarnya, baginda selalu berpesan agar setiap individu yang diberikan amanah untuk memberi komitmen sepenuhnya terhadap taat setia kepada tugasan, ketua serta apa jua tanggungjawab yang diberikan.
Selain itu, semasa bertugas, Sultan Ibrahim akan memastikan pasukan beruniform atau agensi kerajaan menampilkan keterampilan berada di tahap yang tertinggi.
“Ketiga adalah dari segi keterampilan, kalau pakai uniform, baginda akan tengok pakaian kita perlu kemas dan uniform bersih.
“Begitu juga tempat tinggal baginda, pejabat, istana, kereta semuanya mesti bersih dalam keadaan tip top,” katanya.
Selama 20 tahun menabur bakti bertugas sebagai Pegawai Keselamatan dan Pengiring Sultan Ibrahim, Sugumaran amat memuji sifat keprihatinan baginda yang meletakkan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.
Di sebalik ketegasan baginda, Sugumaran memberitahu Sultan Ibrahim dikenali sebagai seorang yang tegas, namun di sisi berbeza, baginda seorang yang bersikap terbuka.
Selain sahabat yang baik, baginda juga merupakan seorang bapa yang penyayang dan sentiasa mengasihi isteri, anak-anak dan keluarga baginda.
Sementara itu, menyentuh mengenai isteri baginda, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah juga mencerminkan nilai kepimpinan yang tinggi sama seperti suami baginda.
Kongsi Wong Khong Soon, Permaisuri berpendidikan tinggi dan berbicara dengan lemah lembut.
“Sama seperti Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah juga prihatin terhadap golongan miskin, wanita dan kanak-kanak. Saya telah mengikuti rombongan baginda untuk melawat 10 rumah di Pontian, di mana pemiliknya adalah golongan miskin atau sakit.
“Lokasi rumah-rumah ini terletak di kawasan kampung dan kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah- rumah tersebut,” kongsinya.
Tambah beliau, baginda tidak pernah mengeluh atau merungut sekalipun dan meluangkan masa yang panjang dengan setiap pemilik rumah untuk mendengar segala masalah mereka.
Baginda selalu prihatin terhadap isu-isu sosial dan berusaha mencari cara untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan yang memerlukan.
“Penghormatan dan sokongan baginda terhadap Tuanku sentiasa konsisten dan baginda ibu yang hebat bagi anak-anak mereka,” katanya.