PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 11.30 pagi, hari ini.
Menurut hantaran di laman Facebook Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dimaklumkan ketibaan baginda berdua disambut oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
“Paduka Seri Baginda berdua merupakan antara tetamu jemputan Diraja dari luar negara bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, esok di Istana Negara.
“Berangkat sama, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,” kongsi hantaran itu.
Turut berangkat Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah. – KOSMO! ONLINE