PETALING JAYA – Air mata menjadi saksi kerinduan seorang anak yang menanti kepulangan ibunya setelah hampir sebulan menghilangkan diri tanpa khabar berita.
Menerusi perkongsian di laman TikTok @Abe Hae, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui ketika mereka sedang berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan di sekitar Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.
Menurutnya, ibu kanak-kanak tersebut yang bernama Nurul Amirah Zainuh, berasal dari Kedah dan kali terakhir dilihat 28 Mei lalu ketika dihantar menaiki bas di Machang yang kononnya mahu pulang ke Kedah, namun sebenarnya menuju ke Shah Alam.
Difahamkan anak yang ditinggalkan itu merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolahnya serta memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan kini dijaga oleh bapa saudaranya.
Rata-rata orang ramai di ruangan komen turut bersama-sama membantu menjejak kembali ibu kanak-kanak terbabit dan berdoa supaya wanita segera pulang kembali ke pangkuan keluarga.
“Baliklah Amirah, kasihan dekat anak-anak rindu awak. Tentu awak ibu yang baik dan penyayang. Ada masalah sekalipun, hubungi anak-anak dulu,” komen @Nour Lee.
“Semoga dipermudahkan usaha menjejaki Nurul Amirah. Dulu duduk kerja dekat kedai ayam kampung kita lepas itu berhenti tak beritahu sepatah pun. Kenapalah jadi macam ini, balik lah mirah, kasihan anak-anak,” ujar @akma072.
“Sebenarnya ibu tak sanggup nak tinggalkan anak-anaknya, namun kerana ada sesuatu yang terpendam dihati, ditekadkan hati untuk bawa diri. Didoakan semoga ibunya dapat ditemukan,” kata @sazlina67. – KOSMO! ONLINE