PETALING JAYA – Selepas hampir 11 bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Tasha Shilla mengesahkan dirinya kini hamil lima bulan.
Khabar gembira tersebut dikongsi Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak, 33, menerusi satu hantaran Instagram sebentar tadi.
“Syukur alhamdulillah, saya dan suami ingin membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang kini berusia lima bulan.
“Saya memohon anda semua doakan yang baik-baik supaya bayi di dalam kandungan dikurniakan kesihatan yang baik dan selamat hingga ke hari kelahiran,” tulisnya dalam entri tersebut.
Dalam pada itu, pelakon drama Kamar Kamariah itu memberitahu dia sangat gembira dikelilingi individu yang sentiasa mendiakan kebahagian dan kesejahteraannya.
“Jujurnya, saya teramat gembira apabila orang sekeliling dan rakan taulan mendoakan kebahagiaan & kesejahteraan saya sekeluarga.
“Pada kesempatan ini saya ingin ucapkan semoga kalian dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur serta dipermudahkan segala urusan,” kata isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Atiq Idris itu.
Terdahulu, Tasha dan Muhammad Atiq selamat mendirikan rumah tangga pada 28 Februari lalu di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. – K! ONLINE