SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, mengangguk faham bagi pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu yang masih bujang didakwa memiliki item berkaitan IS di dalam telefon bimbitnya jenis Redmi Note 11 (dwisim) dengan kesalahan dilakukan di Sungai Dua, Butterworth pada pukul 9.35 pagi, 23 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan merampas harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menetapkan 19 Ogos ini untuk perbicaraan.
Terdahulu, tertuduh tiba di Mahkamah Butterworth pada pukul 8.45 pagi tadi dengan dikawal ketat anggota polis bersenjata sehingga ke pintu masuk mahkamah. – KOSMO! ONLINE