SLIM RIVER – Para petugas media telah berada di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, di sini sejak pukul 9 pagi bagi membuat liputan operasi pencarian bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dijadualkan bermula pukul 10 pagi.
Tinjauan mendapati, keadaan sungai agak deras dan keruh susulan hujan lebat pada awal pagi.
Semalam, media melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik mangsa ditemui ketika operasi pencarian bukti dilakukan di sungai tersebut.
Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis di Balai Polis Slim River berpangkat Lans Koperal ditahan pada hari yang sama.
Rabu lalu pula, seunit telefon bimbit dipercayai milik mangsa ditemui dalam parit di Kampung Sri Kledang pada Rabu lalu sekitar jam 12.20 tengah hari selepas sejam unit siasatan forensik memulakan pencarian. – KOSMO! ONLINE