KUALA LUMPUR – Penantian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bagi mendapatkan status kewarganegaraan berakhir apabila dia menerima surat keputusan kewarganegaraan dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Permohonan kewarganegaraan itu dibuat oleh ibu angkat kanak-kanak terbabit, Hazlina Hamzah, 49, sejak tahun 2018 iaitu semasa kanak-kanak tersebut, Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman berusia empat tahun.
“Saya menjaga Haiqal sejak dia berusia tiga bulan lagi yang mana saya juga mengenali ibu kandungnya. Selepas sebulan menjaga Haiqal, ibu kandungnya tidak pernah ambil dia semula jadi saya buat keputusan untuk terus menjaga Haiqal.
“Kemudian saya merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tentang apa yang saya perlu lakukan seterusnya, mereka lantikkan peguam dan saya naik ke mahkamah sebanyak lima kali untuk proses pengambilan anak angkat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangsapuri Sri Kelantan, Sentul, di sini hari ini.
Hazlina berkata, walaupun ibu kandung kanak-kanak terbabit merupakan warganegara Malaysia, wanita tersebut tidak pernah memohon kad pengenalan justeru perkara itu menjadikan anak-anaknya turut tidak mempunyai status kewarganegaraan.
“Saya amat berterima kasih kepada Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) yang paling banyak membantu saya ke mana sahaja yang perlu rujuk dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meluluskan permohonan saya secepat yang mungkin,” katanya.
Terdahulu, turut hadir semasa penyerahan surat tersebut ialah Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Dalam pada itu, Saifuddin ketika ditemui pemberita memaklumkan, seramai tujuh orang lagi adik-beradik kandung Muhammad Danish Haiqal turut dibantu bagi proses permohonan kewarganegaraan itu selepas ibu kandungnya mendapatkan kad pengenalan.
“Beberapa hari lepas timbul di dalam TikTok yang menyebut tentang permohonan adik Haiqal dan apabila saya semak permohonan itu, sebetulnya pada bulan Jun lepas kelulusan sudahpun diberikan di mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri telah menghubungi ibu angkatnya untuk datang dan mengambil surat tetapi tidak berlaku.
“Jadi, apabila perkara itu sampai ke pengetahuan saya, saya memilih untuk datang sendiri. Bukan sahaja serah kepada Haiqal, tetapi adik-beradiknya yang lain iaitu seramai lapan orang yang diserahkan jagaan kepada orang lain selepas ibu kandung mereka memiliki kad pengenalan,” katanya.
Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, lebih banyak perluang terbuka kepada kanak-kanak tersebut selepas memperoleh kerakyatan.
“Saya gesa ibu bapa supaya mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan kad pengenalan bagi mengelak isu tidak memperoleh kewarganegaraan.
“Kita sebagai masyarakat harus melihat orang tanpa kerakyatan ini sebagai orang yang kita ketengahkan kerana ini adalah masalah sistematik yang perlu diselesaikan oleh kerajaan yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” katanya. – KOSMO! ONLINE