fbpx

Allahyarham Mohamad Aziz mesra dengan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Mohamad Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Alif, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz, 80, merupakan seorang bapa dan datuk yang penyayang.

Anak Allahyarham, Shukur berkata, walaupun pihak luar mengenali Allahyarham sebagai seorang yang garang, tetapi tidak bagi ahli keluarganya.

“Abah saya di luar orang kenal sebagai seseorang yang garang. Banyak gelaran diberi kepadanya termasuklah singa selatan, namun di rumah dia yang paling ‘sporting’.

“Apa yang dilihat di luar tidak sama seperti di rumah. Siapa yang kenal rapat akan tahu bagaimana orangnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik di sini hari ini.

Allahyarham yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.50 malam semalam selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak lima hari lalu.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang ke kediamannya untuk disembahyangkan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Bukit Aliff di sini pada pukul 10 pagi.

Shukur berkata, beliau mewakili ahli keluarganya memohon maaf jika ada salah silap dilakukan Allahyarham sepanjang berkhidmat khususnya dalam arena politik tanah air.

“Biasalah orang politik apabila bercakap kadangkala bahasa (agak kasar), tetapi dia (Mohamad) berniat baik,” ujar anak sulung daripada sembilan beradik itu.

Kata beliau, Allahyarham selalu berpesan kepada keluarganya jangan meninggalkan solat dan sentiasa menjaga hubungan silaturrahim selain menghormati alim ulama.

Allahyarham yang merupakan Speaker DUN Johor dari tahun 2013 sehingga 2018 pernah juga menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani.

Selain itu, beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat.

Dalam bidang politik, Mohamad pernah menjadi Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bagi sesi 2008/2011 dan menjadi Ketua Bahagian UMNO Bahagian Sri Gading.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI