fbpx

Johari ketuai Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari dalam misi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan India dalam sektor agrikomoditi.

PETALING JAYA – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sedang mengetuai delegasi kementeriannya di New Delhi dalam Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India.

Johari berkata, misi ekonomi itu bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meneroka peluang peningkatan kerjasama dan kolaborasi baharu antara Malaysia dengan India dalam sektor berkenaan.

Menurut beliau, perjumpaan pertama melibatkan perjumpaan penting bersama pemain industri pemprosesan minyak sawit terbesar di India iaitu syarikat konglomerat Adani Wilmar Ltd.

“Adani Wilmar Ltd merupakan sebuah syarikat FMCG (fast-moving consumer goods) yang menawarkan pelbagai produk penting dapur untuk pengguna di India.

“Mewakili konglomerat Adani Wilmar adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif, Angshu Mallick bersama pengurusan kepimpinan kanan yang lain.

“Dalam perjumpaan ini, kami bersetuju untuk memastikan semua produk-produk berasaskan kelapa sawit negara kita adalah hasil daripada pengeluaran yang mampan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Johari berkata, penekanan serta tumpuan kepada “sustainability standards” dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia akan membolehkan pengeksportan minyak sawit kepada lebih banyak negara.

Kata beliau, India merupakan pasaran yang sangat besar kepada Malaysia kerana negara itu merupakan pengimport kelapa sawit terbesar dunia yang membeli kelapa sawit daripada Malaysia.

“Secara keseluruhan India mengimport kelapa sawit Malaysia mencecah 3.3 juta metrik tan setahun dengan nilai eksport berjumlah RM13.28 bilion atau 13 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara di pasaran antarabangsa pada tahun 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI