SEBERANG PERAI – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Zikry Khamis Khalid terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak termasuk ke sekolah apabila kudung kaki kiri akibat penyakit genetik neurofibromatosis jenis 1 (NF1).
NF1 adalah penyakit jarang jumpa yang menyebabkan ketumbuhan pada bahagian saraf.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Zikry dilahirkan normal, namun penyakit itu dikesan ketika berusia lapan bulan apabila kaki kirinya semakin membesar akibat lebihan isi kulit.
Menurutnya, dia kemudiannya disahkan menghidap NF1 dan perlu menjalani pembedahan laparotomi untuk membuang plexiform neurofibroma pada perut ketika usia empat tahun.
“Semasa usia lapan tahun, Muhammad Zikry terpaksa menjalani pembedahan sendi pinggul dan berdepan dengan masalah pundi kencing neurogenik (tidak berfungsi) selain tulang belakang bengkok.
“Ibu bapanya tidak berani untuk membenarkannya menjalani pembedahan tulang belakang dijalankan kerana doktor memberitahu kadar kejayaan adalah 50 peratus sahaja,” katanya di sini.
Tambahnya, bapa remaja dari Labu, Negeri Sembilan itu, Khamis Khalid Ahmad Fadzil, 48, juga merupakan penghidap neurofibromatosis.
“Keadaan Muhammad Zikry ketika ini tidak terkawal apabila tumor terus merosakkan belakang, pangkal paha dan skrotum sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak.
“Dia terpaksa berkerusi roda untuk ke sekolah selain merangkak ketika mahu bergerak di rumah yang menyebabkan pelajar tingkatan empat ini mudah letih.
“Doktor menyarankan dia menggunakan ubat baharu bagi mengelak masalah sarafnya semakin teruk, namun harganya terlalu mahal,” ujarnya.
Ujar Sui Hau, pihaknya akan membantu mengumpul dana sebanyak RM195,000 bagi menampung kos ubat-ubatannya dalam usaha mengelak tumor daripada terus merebak.
“Pendapatan keluarganya hanya bergantung kepada bapa yang bekerja sebagai juruteknik kilang, manakala ibunya, Aishah, 50, suri rumah.
“Keluarga ini mempunyai anak perempuan berusia 20 tahun yang masih menuntut di sebuah kolej tempatan,” katanya.
Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare.