BEIJING – Saintis-saintis memberi amaran mengenai sejenis kulat yang rintang ubat selepas dua orang di China dilaporkan maut akibat jangkitan tersebut, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Sebelum ini, kulat yang dikenali sebagai Rhodosporidiobolus fluvialis itu tidak pernah dikesan pada manusia.
Pada kebiasaannya, suhu badan manusia yang hangat menawarkan perlindungan lebih besar terhadap jangkitan kulat.
Namun, kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Microbiology mendapati bahawa kulat itu hidup subur dalam iklim yang lebih panas iaitu sekitar 37 darjah Celsius (suhu badan standard manusia). Kesannya, ia menjadi berdaya tahan terhadap ubat antikulat.
Sesetengah strain pula menunjukkan mutasi pantas kepada bentuk yang lebih ekstrem apabila terdedah kepada suhu lebih tinggi.
Keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan cepat ini menunjukkan bagaimana peningkatan suhu yang dikaitkan dengan perubahan iklim, boleh membawa kepada kemunculan patogen kulat dengan daya ketahanan tinggi terhadap ubat. – AGENSI