JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menegaskan dia tidak akan membawa teknik larian lama yang membawanya mencatat masa terbaik 10.09 saat (s) di Cali, Colombia dua tahun lalu semasa menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
Azeem mengakui cara larian tersebut tidak lagi sesuai digunakan pada usia 20 tahun setelah memperbaiki teknik baharu semasa latihan bersama Ken Harden di Amerika Syarikat.
“Saya akan kekal dengan apa saya lakukan sekarang kerana teknik lama itu adalah bahagian dari diri saya yang lama. Saya, kini Azeem yang lebih baik dari segi bentuk badan, kekuatan dan mental.
“Saya berusia 20 tahun dan catatan 10.09s itu adalah rekod yang saya berjaya lakukan dua tahun dahulu kerana ketika itu saya masih lagi remaja.
“Saya kini individu yang berbeza dan perkara-perkara lama sebenarnya tidak sesuai dengan umur saya. Buat masa ini, banyak peningkatan dapat dilakukan, jadi nak tak nak saya perlu gunakan dan saya takkan gunakan teknik lama ke Olimpik Paris ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azeem mengakui dia enggan mensia-siakan peluang yang diberikan dan mahu pulang ke Malaysia tanpa perasaan kecewa.
“Misi utama adalah saya nak berikan yang terbaik kerana ini adalah penampilan pertama dan pentas terbesar saya akan berlari seumur hidup saya.
“Jadi saya tidak mahu keluar dari trek perlumbaan dengan sebarang perasaan kecewa dan saya tak nak menyesal apa yang telah dibuat di sana.
“Sasaran utama saya untuk mencari diri saya semula dan saya sudah rasa ia semakin hampir, jadi di Olimpik nanti saya mahu catatan masa terbaik. Siapa tahu saya boleh memecahkan rekod peribadi di sana,”ujarnya.
Sepanjang tahun ini, masa terbaik Azeem adalah 10.24s sewaktu Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles pada 27 April lepas dan catatan terakhirnya iaitu 10.37s dilakukan di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 baru-baru ini.