fbpx

‘Perang’ senjata angkasa AS, Russia, China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi grafik menunjukkan senjata di angkasa lepas. - Shutterstock

WASHINGTON – Agensi perisikan dan tentera Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa Russia dan China semakin hampir untuk melancarkan senjata yang berpangkalan di angkasa lepas, lapor laman berita Voice of America (VOA) kelmarin.

Menurutnya, tindakan Moscow dan Beijing itu sekiranya dilakukan, boleh memberi implikasi hebat terhadap keupayaan Washington untuk mempertahankan diri.

“Saya mahu menekankan bahawa (AS) perlu berupaya untuk bertindak balas di angkasa.

“Russia dan China mempertimbangkan penggunaan angkasa sejak awal lagi, malah mendahului konflik sebagai keupayaan penting untuk menghalang (serangan musuh).

“Kita perlu bersedia,” kata Pengarah Agensi Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Jeff Kruse pada Forum Keselamatan Aspen di Colorado kelmarin.

Tambah Kruse, selama sedekad, AS memantau hasrat Russia untuk  membentuk keupayaan bagi menempatkan senjata nuklear di angkasa.

“Mereka telah berkembang ke tahap di mana kami fikir mereka semakin hampir dan tidak berhasrat untuk memperlahankan (penempatan senjata nuklear di angkasa),” katanya.

Kebimbangan mengenai keselamatan angkasa lepas meningkat awal tahun ini apabila Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Kongres AS, Mike Turner menggesa penyahklasifikasi bagi semua maklumat berkaitan keupayaan antisatelit Russia baharu yang melibatkan senjata nuklear.

Turner berkata, AS masih ‘tidur’ sedangkan Russia berada di ambang untuk meletupkan senjata nuklear di angkasa.

White House sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa pegawai AS telah mengetahui rancangan Russia itu, namun Moscow sehingga kini masih belum bertindak demikian.

Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov menolak kebimbangan AS tentang Moscow yang didakwa cuba menempatkan senjata nuklear di angkasa.

Ryabkov menganggap dakwaan itu sebagai berita palsu.

Kedutaan China di Washington turut menafikan dakwaan itu dengan berkata, Beijing tidak akan bertindak agresif di angkasa.

“China sentiasa menyokong perkongsian angkasa lepas secara aman. 

“Namun, kami menentang penggunaan senjata di angkasa lepas atau perlumbaan senjata di angkasa, dan mahu bekerja secara aktif ke arah visi membina komuniti dengan masa depan bersama untuk manusia,” kata jurucakap China, Liu Pengyu kepada VOA menerusi e-mel.

“AS mencipta naratif tentang apa yang didakwa ‘ancaman ditimbulkan oleh China’ di angkasa lepas dalam usaha untuk mewajarkan pembentukan tenteranya sendiri bagi menakluki angkasa,” tambahnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI