KUALA LUMPUR – Pelakon Nora Danish menyifatkan luahan ‘i miss you Boss Ned’ daripada pelakon sensasi Zarina Anjoulie sebagai titipan ingatan terhadap bekas suaminya tidak lebih daripada ucapan daripada selorang sahabat kepada sahabat baik.
Ujar Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia juga tidak kisah andai Zarina atau Anju dengan Nedim Nazri mempunyai hubungan rapat lebih daripada kawan. Lebih utama, dia kini tiada kaitan dengan lelaki itu.
“Saya percaya mereka memang sudah berkawan lama, sebelum Nedim dengan saya lagi, mereka seperti teman akrab. Saya pun tidak mempunyai apa-apa masalah dengan Anju, kami memang baik.
“Jadi apabila Anju memuat naik hantaran seperti itu, saya cuma anggap itu tanda ingatan seorang kawan kepada sahabat lama. Nedim tengah sakit masa itu, mungkin memang ramai yang merindui dia.
“Tetapi kalau mereka nak lebih daripada itu (bercinta) pun saya tidak kisah sebenarnya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini, pelakon sensasi berusia 36 tahun itu memuat naik hantaran dalam Instagram ‘I miss you Boss Ned’ selang beberapa hari selepas Nora dan ahli perniagaan terbabit bercerai.
Perkongsian Anju mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen sehingga ada yang tertanya-tanya reaksi Nora biarpun mereka sudah sah berpisah pada 16 Jun lalu selepas tujuh tahun melayari rumah tangga.
Mengulas pula tuduhan masih sebumbung, ibu tunggal anak dua itu menzahirkan rasa terkilan apabila rakan sendiri yang menyangka dia dan Nedim tinggal bersama-sama.
“Saya terima banyak DM (mesej langsung) yang bertanyakan perkara ini membuatkan saya terkilan kerana mereka adalah dalam kalangan kenalan terdekat.
“Masa Nedim sakit kami baru sahaja bercerai tetapi kami berpisah secara baik, jadi apabila dia sakit, saya jaga dia sebab kami pun sudah bersama selama 11 tahun.
“Dari situ mungkin orang sangka saya sudah kembali dengan Nedim. Dia tinggal dengan kawan, saya pula di rumah ibu disebabkan proses renovasi kediaman sendiri belum selesai.
“Harapnya tiada lagi spekulasi sebab saya mahu fokus kepada penghijrahan serta perkara lain yang lebih penting,” ujarnya pada sidang media drama bersiri Perang Nasi Dagang, baru-baru ini.
Terdahulu, Nora dan Nedim yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 sah bercerai pada 16 Jun lalu dengan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Menerusi perkahwinan sebelum ini dengan ahli perniagaan, Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai yang berakhir pada tahun 2008, dia mempunyai seorang putera, Rayqal, 15. – KOSMO! ONLINE