PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis tidak berasa diri terlalu hebat.
Beliau mengingatkan Jailani bahawa Barisan Nasional (BN) masih membentuk kerajaan negeri Melaka walaupun selepas ADUN Rembia itu membuat keputusan menyertai Pas.
“PRN Melaka BN menang 21 kerusi daripada 28 kerusi. Jika tolak kamu sorang pun kita (BN) masih boleh membentuk kerajaan (negeri).
“Kamu beritahu tanpa kamu saya tak mungkin jadi wakil rakyat? Maaf, saya jadi wakil rakyat bukan sebab kamu, tetapi sebab parti saya dan rakyat DUN Merlimau.
“Nasihat saya, jangan bermimpi anggap diri hebat. Kamu hanyalah ‘katak politik’ yang mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, Muhamad Jailani dilaporkan berkata, tindakannya menarik sokongan daripada kerajaan Pakatan Harapan Melaka pada 2020 yang membuka ruang untuk UMNO kembali memerintah negeri itu.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal dalam nada sindiran mengucapkan semoga berjaya kepada Pas sekiranya mahu mengangkat Muhamad Jailani sebagai pemimpin parti itu.
“Jaga-jaga, dia mungkin boleh ‘melompat’ lagi pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE