KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, rakan perniagaan terbesar negara, China bersedia labur kira-kira RM5 bilion terutamanya dalam usaha menggalakkan industri halal negara pada masa kini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, rundingan bersama kerajaan China juga akan dilakukan untuk menempatkan syarikat-syarikat tertentu di taman industri halal di negeri negeri dalam merancakkan ekonomi industri itu.
“Untuk menggalakkan pelabur masuk, saya percaya kita telah didatangani pelabur dari China dan mereka bersedia untuk melabur kira-kira RM5 bilion dan saya akan berunding dengan mereka untuk menempatkan syarikat-syarikat itu di Taman Halal Negeri supaya negeri-negeri itu dapat pengagihannya supaya kesaksamaan boleh diberikan,”ujarnya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai infrastruktur Taman Industri Halal di negeri yang dilihat tidak dimanfaatkan sebaiknya serta langkah meyakinkan pelabur dalam industri halal.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, antara usaha lain yang akan dilaksanakan adalah dengan melibatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia(JAKIM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan kementerian serta agensi lain yang akan menjadi pendukung dalam industri itu. – KOSMO! ONLINE.