MELAKA – “Emosi isteri dia sangat terganggu dengan kata-kata masyarakat, dia menangis sampai tidak boleh bekerja jadi harap orang ramai faham. Tolonglah bantu adik saya, biar polis sahaja yang siasat.”
Itu permintaan abang ipar suspek yang direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ketika ditemui ditemui pemberita di Pengkalan Batu, di sini hari ini.
Menurutnya, adiknya berusia 25 tahun yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sangat memerlukan semangat dan sokongan bagi menghadapi ujian getir hidupnya bersama anak yang baru berusia lapan bulan.
“Keadaan emosi adik (isteri suspek) sekarang ini sangat terganggu, memang tidak stabil kerana sebagai isteri dia sendiri pun sukar untuk percaya apa yang terjadi kerana sejak mereka berkahwin lima tahun lalu suaminya baik dan suka membantu orang.
“Saya sebagai abang hanya mampu bagi semangat. Orang luar tidak berada di tempat kami, tak tahu bagaimana sakitnya emosi kami. Sebaiknya berilah sokongan kepada ahli keluarga, biarlah polis yang melakukan siasatan,” katanya.
Ujarnya, kini adiknya juga tidak boleh ditinggalkan berseorangan dan perlu ditemani oleh ahli keluarga sepanjang masa.
“Pegawai kaunseling meminta kami untuk sentiasa berada disamping adik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Kami juga perlu memastikan dia menjauhi platform media sosial bagi mengelakkan keadaan mental dan emosinya bertambah buruk apabila membaca pelbagai andaian netizen berkaitan kes ini,” ujarnya.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini, 25, yang hilang sejak 10 Julai, ditemui dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
11 Julai lalu, mangsa berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.-KOSMO! ONLINE