SUASANA malam yang gelap sambil ditemani bunyi unggas di sekitar perkampungan atas air di Tasik Tonle Sap, Kemboja cukup memukau sehingga membuatkan lelaki berusia 43 itu leka menikmatinya.
Ketika leka menikmati fenomena alam itu, Leng Vann terkenangkan akan zaman kegemilangan tasik berkenaan yang pernah dihuni pelbagai spesies ikan dan hidupan liar.
Leng Vann sendiri mempunyai pengalaman menangkap ratusan kilogram ikan sehari dengan hanya menggunakan jaring.
Justeru tidak hairanlah tasik tersebut dilabel sebagai pembekal sumber protein utama kepada sebahagian besar masyarakat di Kemboja sejak berabad-abad lamanya.
Tasik seluas 14,500 kilometer persegi itu dihuni lebih satu juta orang yang majoritinya bekerja sebagai nelayan.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, permukaan air Tonle Sap semakin merosot sehingga menjejaskan populasi ikan akibat daripada perubahan iklim dan kewujudan empangan di hulu Sungai Mekong.
Selepas berakhirnya musim hujan pada akhir Oktober lalu, Leng Vann keluar ke tasik tersebut bagi menjaring ikan, malangnya tidak ada seekor yang sangkut.
“Kami nelayan bertahan dengan air dan ikan. Apabila tiada air dan ikan, apa lagi yang boleh diharapkan. Masa depan kami di sini gelap,” ujar Leng Vann sambil mendayung sampan uzurnya kembali ke rumah.
Tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara itu adalah simpanan ekologi warisan dunia yang mempunyai fungsinya tersendiri. Pada musim kemarau, air tasik berkenaan akan mengalir masuk ke Sungai Mekong.
Sangat kering
Apabila tiba musim hujan pada Mei hingga Oktober, air lebihan dari Sungai Mekong pula akan mengalir masuk memenuhi Tasik Tonle Sap.
Menurut Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC), saiz Tonle Sapa akan bertambah sehingga empat kali ganda pada kemuncak musim banjir, sekali gus menjadikan keluasan kawasan tersebut lebih besar daripada negara Lebanon.
Bagaimanapun, aliran masuk air dari Sungai Mekong ke Tonle Sap berkurangan dengan serius sejak kebelakangan ini. Pada tahun lalu, jumlah air yang masuk ke tasik telah turun sebanyak satu perempat daripada paras purata selama seabad.
MRC memaklumkan, paras dicatatkan itu adalah paling rendah sejak tahun 1997, sekali gus menyebabkan keadaan sangat kering.
Krisis berkenaan berlaku disebabkan perubahan cuaca yang berlaku akibat fenomena luar biasa seperti kemarau teruk pada tahun lalu dan kesan El Nino.
Para pengkaji alam sekitar menyalahkan pembinaan empangan besar bersebelahan Sungai Mekong dan beberapa empangan kecil di sekitarnya, sebagai punca aliran air masuk ke tasik itu berkurangan.
Penurunan paras air tasik memberi pengaruh besar kepada kawasan tanah lembap di sekitarnya sehingga menjejaskan populasi hidupan akuatik dan hidupan liar di situ.
Tanah lembap di sekitar tasik tersebut merupakan tempat pembiakan kepada semua spesies ikan. Tasik dipercayai dihuni lebih daripada 300 spesies ikan air tawar, ular, buaya, kura-kura, penyu dan memerang.
Seorang pengembara Barat, Hun Sotharith berkata, dia masih mengingati tasik itu sering menjadi tumpuan kaki pancing sekitar tahun 90-an.
“Sepanjang musim hujan, kawasan tanah lembap menjadi tempat terbaik untuk ikan mendapatkan makanan, membiak dan bersembunyi daripada pemangsa.
“Tasik ini menjadi habitat kepada pelbagai jenis ikan termasuk keli raksasa Mekong yang kian terancam. Ketika itu, di mana-mana sahaja terdapat hutan dan ikan banyak,” jelasnya.
Satu kajian oleh Persatuan Pemulihan Hidupan Liar, hampir satu pertiga daripada habitat semula jadi di Tonle Sap lenyap sepanjang tempoh 25 tahun.
Ia disebabkan tanah lembap yang menjadi dataran banjir itu telah dieksploitasi menjadi tempat penanaman padi.
“Tanpa tindakan segera dan koordinasi, ekosistem yang ada di Kemboja selama beberapa generasi akan lenyap,” ujar kenyataan itu.
Akibat daripada penurunan populasi ikan telah mendorong sebahagian besar daripada 2,600 nelayan di Koh Chivang memilih untuk menanam cili dan beberapa tanaman lain bagi menampung kehidupan mereka.
Koh Chivang merupakan salah sebuah daripada lima kawasan penempatan atas air di Tasik Tonle Sap. Wakil pemimpin masyarakat, Hun Sotharith berkata, para nelayan mengusahakan tanah pertanian yang dahulunya merupakan tempat pembiakan ikan.
Terancam
Jelasnya, pembukaan kawasan pertanian secara haram di kawasan tasik tersebut meningkat mendadak.
“Sekiranya kita tidak melindungi sumber alam yang tersisa ini, ia akan menimbulkan kesulitan pada masa depan,” ujarnya.
Pihak renjer hutan turut memberi amaran bahawa habitat haiwan kian terancam termasuk santuari burung.
Santuari yang dikenali sebagai Prek Toal yang terletak di barat laut Tonle Sap itu adalah tempat perlindungan burung diiktiraf di peringkat global.
Ia merupakan rumah bagi koloni burung terbesar di Asia Tenggara iaitu kira 100,000 pasangan daripada spesies egret, ibis, cormarants dan populasi kecil bangau adjutant.
Kawasan perkampungan terapung di Tasik Tongle Sap telah beradaptasi dengan paras air susut sejak turun-temuruh selama beberapa generasi.
Apabila keadaan tersebut berlaku, para nelayan memilih untuk memancing ikan atau menjual makanan menggunakan sampan bagi menjana pendapatan.
Hampir semua kemudahan komuniti seperti sekolah, salon rambut, kedai kopi dan klinik pergigian beroperasi di atas Tasik Tonle Sap dengan bot menjadi jalan penghubung.
Bagaimapaun, kekurangan air dan populasi ikan mengancam cara hidup tradisional di Koh Chivang apabila anak-anak muda memilih bekerja di bandar, manakala ibu bapa kekal di rumah.
“Anak-anak muda di sini sudah mula keluar bekerja kilang di bandar kerana tidak ada ikan dalam tasik,” ujar salah seorang nelayan Sim Suom, 59, sambil menambah anak perempuannya juga berkerja kilang di Siem Reap.
Suom juga mengatakan, dia mungkin perlu melakukan perjalanan ke Siem Reap, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot untuk mencari pekerjaan selama beberapa bulan.