LONDON – Pelumba pasukan Yamaha, Fabio Quartararo mengakui fokus pasukannya kepada pembangunan jentera YZR-M1 masih tetap sama.
Bagaimanapun, dia yakin bahawa jentera buatan Jepun itu semakin hampir untuk menyamai pasukan Eropah.
Bagaimanapun, pelumba Perancis itu tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi buat pasukannya untuk menyamai kedudukan Ducati tetapi hanya mahu mengatasi Aprilia dan KTM terlebih dahulu.
“Anda boleh membuat penambahbaikan setiap bulan jika anda mempunyai alat ganti kerana kami mempunyai kebebasan untuk menukar spesifikasi enjin pada bila-bila masa.
“Jadi ketika ini kami hanya memberi tumpuan untuk masa depan dari segi jangka pendek. Kami juga telah melakukan percubaan pada enjin baharu terutama sesi ujian di Assen dan satu lagi ujian akan datang.
“Bagi saya, gerak kerja yang dilakukan Yamaha agak baik dan saya dapat rasakan merasakan kemajuan telah dicapai sekurang-kurangnya mampu mengejar jenama Eropah yang lain.
“Sudah pasti tumpuan kita adalah untuk mengejar Aprilia dan KTM terlebih dahulu,” katanya.
Quartararo menamatkan Grand Prix (GP) Jerman di tempat ke-11 dan ketinggalan tujuh saat di belakang pelumba Aprilia, Miguel Oliveira, tetapi hanya 2.5s di belakang pelumba KTM, Pedro Acosta. – AGENSI