MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag didakwa telah mendesak pemilik bersama kelab itu, Sir Jim Ratcliffe supaya bertindak agresif dalam jendela perpindahan susulan kekalahan mengejut 0-1 kepada kelab Norway, Rosenborg.
Meskipun ia adalah aksi persahabatan pertama dalam kempen pramusim United, namun Ten Hag tidak dapat menerima kekalahan itu dan menganggap anak-anak buahnya mempamerkan prestasi buruk tidak setanding dengan reputasi kelab berkenaan.
Disebabkan itu, Ten Hag mahukan lebih ramai pemain baharu untuk menghadapi saingan musim depan dengan buat masa ini United baru menandatangani seorang pemain iaitu Joshua Zirkzee daripada Bologna.
“Apabila semua pemain cergas, kami akan mempunyai pasukan yang hebat dan boleh bersaing di tahap tertinggi. Namun, anda perlu fikirkan mengenai kekuatan pasukan secara keseluruhan, contohnya seperti Manchester City.
“Kalau anda tidak berbelanja, sukar untuk anda mempunyai skuad yang mampu bersaing. Jadi kami perlukan tenaga baharu walaupun kami berjaya memenangi dua trofi dalam tempoh dua musim.
“Apa yang saya perlukan sekarang adalah pemain baharu yang dinamik dan berinovasi tinggi. Saya percaya jika berlaku (permintaan ditunaikan), kami boleh melakukannya (mencabar kejuaraan),” kata Ten Hag.
Buat masa ini, United sedang fokus menguatkan barisan pertahanan dan dikatakan sedang menanti keputusan untuk menandatangani bintang muda Lille, Leny Yoro yang dikatakan bernilai £52 juta (RM315.30 juta).
Dalam masa sama, The Red Devils turut menyatakan minat mereka membeli bek tengah Bayern Munich, Matthijs de Ligt dan Jarrad Branthwaite daripada Everton. – AGENSI