fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan bincang bangunkan badan industri durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan cadangan penubuhan sebuah badan khusus bagi membangunkan industri durian di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penubuhan badan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tetapi yang bertanggungjawab untuk pembangunan durian tersebut adalah amat baik.

“Kita akan bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan sebagainya sebab The New York Times turut membuat ramalan bahawa durian satu pertumbuhan ekonomi baharu buat Malaysia.

“Ia selepas termeterainya perjanjian dengan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) baru-baru ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada kerajaan akan menubuhkan sebuah badan seperti MPOB tetapi untuk pembangunan industri durian di negara ini.

Terdahulu, Mohamad berkata, industri durian tidak sama seperti beras, daging, ikan, telur dan minyak masak yang menerima banyak subsidi kerajaan untuk mengekalkan harga yang setimpal.

“Beras, daging, ikan, telur, minyak masak ini keperluan. Tiada bahan-bahan ini kehidupan rakyat terjejas. Kalau tiada durian tidaklah berapa terjejas.

“Bagaimanapun ia adalah satu perniagaan maka kita “tackle’ (isu durian) sebagai sumber perniagaan, bukan seperti kedudukan beras, telur, ayam dan sebagainya,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai usaha dan langkah kerajaan dalam menggalakkan pengeluaran durian musang king, duri hitam yang mempunyai nilai yang tinggi untuk pasaran antarabangsa.

“Berhubung pelancongan durian pula memang sudah ada. Pelancong di Pulau Pinang akan ke Balik Pulau untuk makan durian. Bukit Bintang banyak pelancong datang ke pusat jualan durian. Kebanyakan pelancong China.

“Bagi mereka harga tak jadi masalah. Kita tahu China dah 1,400 juta penduduk. Kalau 10 peratus saja nak makan durian, barangkali durian di Malaysia, Vietnam dan Thailand tak mencukupi,” kata Mohamad.

Terdahulu, beliau berkata, bermula tahun 2021 sehingga Jun 2024, sebanyak 79,130 anak pokok durian musang king dan 18,707 anak pokok durian duri hitam telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.

Sehingga tahun 2024, seluas 4,775 hektar ladang durian telah didaftarkan di bawah pensijilan myGAP melibatkan seramai 1,231 orang petani dan sebanyak 50 fasiliti pemprosesan durian telah diakreditasi bagi tujuan eksport.

“KPKM telah menandatangani Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China ada 19 Jun 2024. Dengan termeterainya Protokol tersebut, membolehkan buah durian segar di eksport ke China,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI