PETALING JAYA – “Ini ujian untuk dia, doa yang baik-baik.”
Demikian respons pelakon, Niezam Zaidi mengenai keadaan bekas kekasihnya, Nonny Nadirah yang kini kerap mengundang perhatian ramai dengan perkongsian ‘panas’ dalam akaun media sosialnya sejak belakangan ini.
Mengakui bimbang, Niezam, 31, berkata, dia hanya mampu menitipkan doa agar Nonny diberikan hidayah dan yakin perkara yang berlaku ketika ini mempunyai hikmah.
“Ya bimbang tetapi saya mengharapkan dan mendoakan semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita semua dan membawa kita ke jalan yang benar. Mungkin setiap perkara yang terjadi ada hikmahnya.
“Kita tak berada dalam kasut dia dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ini mungkin ujian untuk dia.
“Doakanlah yang baik-baik untuk dia sebab satu hari nanti kita tak tahu apa ujian kita,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media Hai Cinta, Dengarkanlah di sini, hari ini.
Dalam masa sama, pemilik nama penuh Mohd. Niezam Mohd. Zaidi menambah, dia juga mengakui terkejut namun enggan mengulas lanjut kerana berasakan tidak mempunyai hak untuk berbicara mengenai individu lain.
“Hikmah yang saya dapat saya cakap pada orang yang bertanya, doa yang baik-baik sahaja.
“Cakap yang elok-elok sahaja dan saya tak boleh bercakap pasal orang lain sebab bukan hak saya.
“Jikalau saya pun terkejut, keluarga dia lagi terkejut. Semua orang pasti terkejut,” katanya lagi.
Tambah bintang filem Budak Pailang itu, dia tidak lagi mengikuti akaun media sosial Nonny dan hanya dimaklumkan tentang bekas kekasihnya daripada orang lain.
Bukan hanya doa, Niezam juga menyifatkan Nonny merupakan wanita yang baik sepanjang tempoh perkenalan mereka sebelum ini.
“Saya tidak mengikuti akaun media sosialnya dan tahu cerita tentang dia daripada orang lain. Bila orang bertanya, saya jawab tak tahu.
“Apa yang saya nampak dia adalah hamba Allah yang baik, sangat suka bersedekah dan menjaga keluarga. Saya tak nampak perkara (negatif) lain sebaliknya hanya hal yang baik sahaja,” ujarnya.
Niezam juga bagaimanapun enggan memberi sebarang respons mengenai dakwaan ramai yang mengatakan Nonny mengalami masalah kesihatan mental ketika ini.
“Saya tak berani nak ulas keadaan mental dia sebab saya tiada kepakaran dalam bidang kedoktoran.
“Minta maaf saya tak tahu dia sakit atau tidak,” ujarnya lagi.
Niezam juga turut menitipkan pesanan dengan harapan sentiasa di bawah lindungan Tuhan.
“Allah sayang kita, kadang-kadang kita tak tahu apa yang Tuhan sudah siapkan untuk kita dan jangan lupa Allah.
“Ini pesan untuk diri saya juga. Saya tak berani nak pesan untuk orang sebab diri saya pun kadang-kadang tak betul,” katanya lagi.
Sejak akhir-akhir ini, Nonny atau nama penuhnya Nonny Nadirah Zainuddin, 35, kerap menjadi bualan ramai selepas berkongsi video membotakkan kepala dan menari dalam keadaan berkemban dalam Instagramnya.
Terdahulu, Niezam dan Nonny pernah merancang untuk melangkah ke fasa perkahwinan selepas menyulam cinta ketika digandingkan bersama dalam sebuah drama. Bagaimanapun, perancangan perkahwinan itu tidak kesampaian.
Nonny memaklumkan perkahwinan yang dirancang bersama Niezam terpaksa dibatalkan menerusi Instagram pada 25 Oktober 2020 namun tidak mendedahkan mengenai punca pembatalan itu. – KOSMO! ONLINE